KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil memaklumkan representasi permohonan maaf secara terbuka olehnya terhadap badan kehakiman atas dakwaan menghina mahkamah berhubung kes Datuk Seri Najib Razak, dibuat atas cadangan Peguam Negara.

Isham dalam satu kenyataan berkata, cadangan tersebut dikemukakan kepada peguamnya beberapa minggu lalu, sebelum beliau bersetuju memandangkan kos guaman yang agak tinggi.

"Mungkin pihak Peguam Negara tidak mahu memanjangkan kes ini di mahkamah terbuka.

"Oleh itu saya bersetuju dengan cadangan mereka sebabnya kerana kos guaman agak tinggi dan saya bukanlah seorang yang kaya-raya atau jutawan.

"Saya ada duit tetapi bukanlah seperti ahli politik kaya-raya yang lain," katanya pada Selasa.

Hari ini media melaporkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Ahmad Akram Gharib semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin berkata pihak responden (Isham) telah mengemukakan representasi berkenaan kepada Peguam Negara pada 25 Mac lepas melalui e-mel dan pemohon (pendakwa raya) perlu mendapatkan arahan daripada Peguam Negara berhubung representasi itu.

Isham menambah, beliau juga mahu memberikan perhatian kepada satu lagi kes mahkamah iaitu membabitkan Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian saham sebuah syarikat.

"Yang ini adalah kes yang lebih besar dan penting untuk saya lawan dan beri perhatian serta  mendapat sokongan Peguam Negara dan badan kehakiman.

"Tidak bijak dan tidak masuk akal jika saya mengharap sokongan dan budi bicara kehakiman dalam satu kes tetapi melawan mereka dalam satu kes yang lain," katanya.

Justeru, Isham berkata beliau perlu memilih lapangan perjuangan dengan baik dan bijaksana dan terpaksa mengalah dengan Peguam Negara dan badan kehakiman kali ini iaitu dengan mengemukakan representasi permohonan maaf.

"Saya faham saya tidak boleh menang dalam semua perkara, dan dalam perjuangan kita akan kalah dan jatuh banyak kali sebelum kita berjaya.

"Ini adalah asam garan kehidupan dalam perjuangan saya sebagai seorang rakyat dan ahli politik," ujarnya lagi.

Pada 4 Mac lepas, mahkamah membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham.

Peguam Negara dalam permohonan yang difailkan pada 28 Disember tahun lepas, turut memohon agar mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham.